Monday, January 12, 2009

Benarkah syarikat Malaysia yang jadi mangsa boikot barangan Israel dan US?


Rata-rata akhir-akhir ini seruan memboikot barangan Israel dan syarikat AS yang ada hubungan dengan Israel begitu kuat sekali. Ia datang dari berbagai penjuru tanpa mengira parti – dari Tun Mahathir, dari Nik Aziz, malah bakal PM sendiri dari gaya kenyataannya memberikan lampu hijau untuk boikot.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang membuka hati-hati manusia Islam di bumi Malaysia ini untuk berbuat sesuatu dalam menghadapi kekejaman Israel di Gaza.


Tetapi hari ini Januari 13 2009 sudah terdengar pulak suara-suara yang mengingatkan bahawa boikot ini hanya akan memberi kesan buruk kepada syarikat-syarikat Malaysia. Pengarah PR Coca-Cola Malaysia Nordin Kadri berkata Coca-Cola Malaysia mempunyai 1700 kakitangan dengan 60% daripadanya Bumiputera (60% Islam lah tu), dan boikot akan menjejaskan pekerjaan dan kehidupan mereka. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ong Ka Chuan turut berkata demikian, merujuk kepada Starbucks dan Coca-Cola. Vincent Tan, Pengerusi Berjaya Corp., berkata “Semua brand AS dimiliki ahli perniagaan tempatan. Starbucks milik kami (Berjaya). Jika anda boikot Starbucks, kami juga akan ditimpa kesannya.”

Mari kita kupas isu ini sedikit mendalam.

Pertama, setiap kenyataan di atas itu ada benarnya. Jika kita ambil contoh yang mudah-mudah, iaitu McDonalds, Starbucks dan Coca-Cola, tanpa perlu kita dapatkan angka rasmi pun kita dah tahu kebanyakan pekerjanya ialah orang Islam-Melayu. Jika boikot nanti berkesan sudah tentu ada kedai, cawangan malah seluruh kilang akan tutup, menyebabkan budak-budak Islam ini yang memilih untuk bekerja dan bukannya melacur sebagai GRO, mencuri atau menipu, tertekan dan hidup susah kerana kehilangan kerja. Bukan begitu?

Jawapannya ya. Tetapi kedai tutup, kilang tutup, kerja hilang, ini semua perkara biasa dalam kehidupan. Ini memang membebankan mereka, tetapi beban ini jauh lebih ringan dari beban yang sedang ditanggung oleh penduduk Palestin Gaza sama ada sekarang atau sejak wujudnya negara haram Israel. Jika inilah harga yang harus dibayar orang Islam Malaysia, maka seruan saya ialah bayarlah, tidak apa. Rezeki mendapatkan pekerjaan baru, tukar kerja, gaji dan sebagainya ialah ketentuan Allah asal sahaja kita berusaha. Kalau orang-orang Melayu di Coca-Cola, McDonalds dsb tadi hilang kerja mereka, insya-Allah ada kerja lain yang lebih baik.

Tambahan pula, jika kurangnya duit dibelanjakan kepada McDonalds, Starbucks dan Coca-Cola, bermakna duit itu akan dibelanjakan ke tempat lain, ke kedai makanan lain, untuk membeli air botol yang lain. Mungkin alternatif lain tadi ialah makanan dan minuman keluaran Malaysia, bermakna ada permintaan baru dan oleh itu kerja baru yang diwujudkan di tempat lain. Dan oleh sebabnya pengeluarnya betul-betul syarikat Malaysia tulin, maka duit tadi tidak perlulah sebahagiannya dihantar pula balik ke ibupejabat-ibupejabat di AS, yang kemudiannya disalurkan pula ke Israel.

Tak begitu?

Bayangkan pula jika betul-betul pengeluar tempatan tidak kisah Islam atau bukan Islam, tak kira Melayu Cina Kadazan Iban India Sikh atau Melanau, mengambil peluang sikap masyarakat yang mahukan produk alternatif keluaran Malaysia, lalu mula mengeluarkan produk tempatan yang setanding. Bagaimana pula kesannya dengan ekonomi negara? Sudah tentu mencanak naik, kerana tidak ada sedikitpun keuntungan yang perlu dihantar balik ke ibu-pejabat masing-masing milik Israel seluruh dunia!


Kita pergi dalam sikit lagi.

Bukan sahaja rakyat Malaysia yang memboikot, tetapi jutaan rakyat dunia sedang memboikot dan akan terus memboikot. Bukankah mereka ini pengguna yang tiba-tiba sahaja kehilangan produk-produk yang selama ini menjadi pilihan mereka. Ini semua pasaran baru, berjumlah berbillion Ringgit. Bayangkan kalau kita pengeluar lampin pakai buang berkualiti tinggi – berapa banyak pengguna Huggies yang sekarang ini sedang mencari-cari produk baru pengganti Huggies. Bekas pengguna Johnsons & Johnsons? Bekas pengguna Coca-Cola? Bekas pengguna McDonalds?

Kita ambil produk lain pula. Kita boleh lihat pasar raya Carrefour juga disenaraikan. Pemboikot-pemboikot yang biasa membeli di Carrefour masih perlu beli barang bukan. Antara alternatif mereka ialah Giant dan Mydin, dua syarikat Malaysia. Bukankah ini satu yang lebih bagus, sebab dengan Carrefour sebahagian perolehan mereka akan dihantar balik ke negara mereka, sedangkan untuk Giant dan Mydin perolehan itu akan kekal di sini seluruhnya. Kerja yang hilang di Carrefour akan wujud di Giant atau Mydin atau mana-mana hypermarket lain yang tak terlibat. Nampak point saya?

Saya yakin di tempat-tempat yang mana Carrefour bersaing direct dengan Giant seperti di Subang Jaya atau Wangsa Maju jualan Carrefour dalam seminggu ni jatuh dan jualan Giant naik. Tak elokkah kalau syarikat tempatan menang lawan syarikat asing?

Kedua, lebih kurang 45% dari barangan perkilangan (manufacturing goods) Malaysia dieksport ke US. Jika US membalas (retaliate) maka kesan ekonominya akan menjadi sangat dahsyat sekali bagi Malaysia.

Ok, risiko ini nampaknya lebih berat dari perbincangan di atas. Itulah sebabnya boikot ini, gerakan ini, harus bermula dari gerakan rakyat, gerakan massa. Kerajaan harus mengambil sikap berkecuali, dan nampak gayanya inilah pendirian kerajaan, iaitu tidak menggalak atau menghalang. Harus diingat ini bukannya usaha rakyat Malaysia sahaja, malah usaha berjuta mungkin berbilion orang di setiap negara di dunia (mungkin Israel tak lah kot). Saya yakin lebih ramai orang di negara-negara Eropah yang memboikot dari di Malaysia. Jika US ingin menghukum, maka mereka harus menghukum setiap negara di dunia. Yang pentingnya kerajaan harus berkecuali.

Bagaimana jika US mungkin retaliate juga atas alasan Kerajaan Malaysia tidak menasihatkan rakyat supaya jangan memboikot. Mudah sahaja jawapannya. Pak Lah atau Najib akan kata, “jika kami tak berkecuali dan dilihat menyokong US, maka esok jugak akan ada rusuhan di negara kami oleh rakyat kami yang menyokong Gaza. Hal Gaza ini bukan buatan Malaysia, tetapi buatan Israel dan US.”

Jadi tidak timbul isu retaliation oleh US asal saja bukan kerajaan Malaysia yang menggalakkan boikot.

Atau bagaimana? Mari bincangkan.

1 comment:

  1. Ini adalah penjelasan yang baik bagi mereka yang cynical dengan usaha boikot.

    Teruskan memberi penerangan, dan jangan berhenti walaupun isu Gaza ini sejuk kembali.

    Sila ke blog saya untuk melihat usaha saya yang tidak seberapa.

    www.aboudiabydoo.blogspot.com

    ReplyDelete